MSWP Wilayah Persekutuan Labuan, 16 November 2024 – Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) cawangan Labuan telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan MSWP @ Cawangan Labuan 2024 bertempat di Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam program tersebut, Tuan Nik Mohd Fitri bin Nik Yahaya, Hakim Mahkamah Syariah telah turut serta bersama-sama Puan Ruhana binti Abdul Rahim, Hakim Mahkamah Syariah. Turut hadir Tuan Tawfik bin Ali, Timbalan Pendaftar MSWP cawangan Labuan.
Seramai lebih 200 orang pengunjung telah hadir ke Hari Bertemu Pelanggan MSWP @ Cawangan Labuan 2024. Program ini merupakan sebuah program anjuran Unit Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia, MSWP cawangan Labuan.
Penganjurannya adalah bertujuan meningkatkan kefahaman tentang perkhidmatan - perkhidmatan yang disediakan oleh MSWP. Pelbagai perkhidmatan konsultasi MSWP disediakan seperti khidmat nasihat berkaitan pengesahan pernikahan dan penceraian, sokongan keluarga, sulh, pengiraan faraid dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, buat julung kalinya pengunjung juga telah menyertai pertandingan Mewarna dan pelbagai mini permainan telah dianjurkan. Program ini juga telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung termasuk kategori Ibubapa bagi pertandingan mewarna dan mini permainan tersebut. Selain itu, terdapat Jualan Agro Madani dan Jualan Garaj bagi memeriahkan suasana program Hari Bertemu Pelanggan tersebut.
Hari Bertemu Pelanggan MSWP @ Cawangan Labuan 2024 turut melibatkan pempamer yang terdiri daripada rakan strategik seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Pendakwaan Syariah (JAPENS), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (MUFTI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (PELADANG)
Justeru, program ini merupakan platform memperkukuh strategi dalam menyebar luas maklumat perkhidmatan MSWP dan rakan strategik yang terlibat bagi memastikan penyampaian berkesan kepada masyarakat.