Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perceraian’ di Mahkamah?
Perceraian ialah lafaz talak yang dilafazkan oleh suami di dalam Mahkamah dan dengan kebenaran Mahkamah.
Suami saya telah menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (sms) kepada kawan saya yang menyatakan bahawa suami saya telah menceraikan saya dan kawan saya telah menunjukkan sms tersebut kepada saya. Apakah yang perlu saya lakukan?
Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah.
Suami saya telah melafazkan cerai kepada saya melalui panggilan telefon dan telah menghilangkan diri, apakah yang perlu saya buat?
Anda perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan saksi dan keterangan yang lengkap.
Saya telah bercerai di luar mahkamah 2 bulan yang lepas tetapi tidak melaporkan perceraian tersebut kepada Mahkamah. Apakah yang patut saya lakukan?
Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah dengan segera.
Apakah maksud Lafaz Kinayah?
Lafaz Kinayah bermaksud lafaz-lafaz selain dari perkataan talaq atau cerai. Sebagai contoh, “Aku pulangkan kau kembali dekat bapa kau” dan lafaz ini boleh dianggap sebagai lafaz kinayah. Kesan lafaz kinayah ini mengikut Hukum Syarak adalah tidak sabit melainkan suami mempunyai niat ketika melafazkan.