Memperkukuh Sistem Keadilan DI Mahkamah Syariah Melalui Penyelesaian Pertikaian Alternatif : Ucaptama Di Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke 18

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2022 | Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-18 membuka tirainya pada hari ini dengan keterlibatan daripada Ketua Hakim Syarii dan 324 orang pegawai syariah dari seluruh negara.
Bertemakan Alternative Dispute Resolution (ADR): Solusi Pertikaian Keluarga Malaysia, Persidangan ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
“Menerusi ayat 10, _surah al-Hujurat_, Allah SWT menggalakkan umat manusia agar menyelesaikan pertelingkahan secara baik tanpa memanjangkan episod permusuhan. Pelbagai mekanisme yang boleh diaplikasikan seperti sulh, mediasi, tahkim, perundingan dan sebagainya,” ujar Ketua Hakim Syarii JKSM tersebut.
Kemuncaknya majlis diteruskan dengan penyampaian ucaptama oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi yang merupakan mantan Ketua Hakim Negara. Pengalaman beliau yang luas dalam perundangan dan kehakiman Sivil, ditambah pula dengan kepelbagaian bidangkuasanya menzahirkan dinamisme serta sisi pandang yang amat bernilai terhadap prospek ADR di Mahkamah Syariah pada masa akan datang.
“Di Mahkamah Sivil, ADR bukan hanya diaplikasikan bagi kes kekeluargaan. Malah ia digunakan dengan lebih meluas merangkumi pertikaian melibatkan negara. Pada tahun 2019, satu Konvensyen di Singapura berkaitan dengan mediasi telah dipersetujui oleh 44 negara untuk menggunakan mediasi bagi menyelesaikan perbalahan atau pertikaian yang berlaku di antara pihak-pihak kepada perjanjian antarabangsa. Ia juga menetapkan satu cara bagi menguatkuasakan keputusan mediasi antarabangsa itu,” ujar mantan Ketua Hakim Negara tersebut.
“Selain mediasi, arbitrasi juga dimaksimumkan pemakaiannya di Mahkamah Sivil. Malah, baru-baru ini Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat dalam ucapannya di AIAC menyatakan bahawa Mahkamah di Malaysia seberapa yang boleh akan mengekalkan/menegakkan keputusan yang dibuat oleh penimbang tara tersebut. Mahkamah seberapa yang boleh tidak akan mengusik keputusan timbang tara tersebut, melainkan sekiranya Mahkamah mendapati terdapat kekhilafan semasa keputusan arbitrasi dikeluarkan.”
“ADR atau sulh merupakan kaedah yang diperkenalkan oleh Islam lebih 1400 tahun dahulu. Sejarah membuktikan bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangannya, namun kini Barat yang lebih awal mendominasi ADR,” tambah beliau lagi.”
Pelbagai kebaikan yang ditawarkan menerusi ADR seperti aspek kerahsiaan, kos yang lebih rendah, tempoh penyelesaian yang lebih singkat dan kepuasan kepada pihak-pihak bertikai, di samping menghasilkan _win-win situation._
Pengaplikasian ADR ini berbeza dengan penyelesaian menerusi proses perbicaraan di Mahkamah yang lebih tertumpu kepada keinginan sebelah pihak untuk menegakkan fakta dan undang-undang yang difikirkan betul di pihaknya dan berhasrat agar Hakim mengeluarkan keputusan berpihak kepadanya.
Metodologi ini jelas berbeza dengan proses mediasi di mana pihak-pihaklah yang memainkan peranan dalam mencipta kreativiti untuk menyelesaikan pertikaian. Justeru penyelesaian yang dicapai selalunya berpanjangan, lebih memuaskan dan hubungan kedua-dua pihak masih terpelihara.
“Sepanjang pengalaman saya selaku Ketua Hakim Negara, terdapat beribu kes yang berjaya diselesaikan menerusi kaedah mediasi, manakala dua kes lagi diselesaikan di peringkat Mahkamah Persekutuan selepas dinasihatkan oleh Mahkamah. Bayangkanlah jika kes tersebut berjaya diselesaikan menerusi mediasi semenjak di peringkat Mahkamah Tinggi, pastinya penyelesaian dapat dirungkai dalam tempoh yang lebih singkat,” kongsi Tun Zaki dalam ucaptamanya.
”Saya percaya, sekiranya sulh/mediasi ini diaplikasikan secara maksimum di Mahkamah, pastinya ia akan berjaya mengelakkan kes-kes tertunggak. Apatah lagi apabila Allah SWT menegaskan betapa besarnya ganjaran kepada hakim atau pihak yang mendamaikan individu yang bertikai. Yang penting, setiap tindakan tersebut hendaklah didasari dengan keikhlasan,” tegas Mantan Ketua Hakim Negara tersebut ketika mengakhiri ucapannya.
ATAS
https://www.data.gov.my CDO Procurement