31 Mac 2023 (Jumaat): Program sempena Ihya’ Ramadan peringkat MSWP Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diteruskan dengan penganjuran program Gema Qasidah dan Kuliah Fiqh Mar’ah (Wanita) yang telah berlangsung di Dewan Makan Aras 4, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran YAA Tuan Haji Mohd Asri Bin Haji Tahir, Ketua Hakim Syarie, merangkap Penaung Badan Kebajikan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (BASKWIP) serta diiringi YA Tuan Mohamed Fouzi Bin Haji Mokhtar, Pengerusi BAKSWIP. Selain itu, majlis ini telah dihadiri kira-kira 60 orang warga Mswp yang terdiri daripada barisan YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah serta kakitangan MSWP Kuala Lumpur & Putrajaya.
Majlis bermula dengan ketibaan masuk YAA Ketua Hakim Syarie ke Dewan Utama majlis. Majlis diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Mohd Azizi Bin Adumi, Penolong Pegawai Syariah Seksyen Pengurusan Kes (SPK). Setelah itu, majlis telah menjemput YAA Ketua Hakim Syarie untuk memberi ucapan pembuka majlis ini. YAA Ketua Hakim Syarie telah merakamkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak BAKSWIP atas penganjuran program pada hari ini. Beliau difahamkan ini merupakan program baharu bagi siri Ihya’ Ramadan MSWP yang mana menggabungkan dua program menjadi satu program yang boleh dihadiri oleh semua golongan.
Majlis diteruskan dengan sajian persembahan qasidah yang telah disampaikan oleh kumpulan Nur Simfoni. Didalam persembahan pembukaan ini, kumpulan Nur Simfoni telah mendendangkan 4 buah lagu. Untuk makluman, kumpulan ini merupakan Juara di Festival Gema Qasidah Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 2022
Majlis diteruskan dengan sesi kuliah Fiqh Mar’ah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ybhg Puan Nazirah Binti Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Puan Penceramah telah mengupas pelbagai isu fiqh yang berkaitan wanita khususnya didalam bab puasa serta ibadah kaum wanita.
Setelah itu, Kumpulan Nur Simfoni telah dijemput sekali lagi untuk menyampaikan persembahan qasidah penutup. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sedikit cenderahati kepada wakil kumpulan Nur Simfoni yang telah disempurkan oleh YA Tuan Pengerusi manakala penyampaian saguhati kepada penceramah jemputan telah disempurnakan oleh YA Puan Zuraidah binti Ayob.
BAKSWIP berharap agar segala ilmu yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung dapat memberi manfaat kepada semua warga MSWP supaya segala ibadah yang diusahakan didalam bulan ini bakal memperolehi ganjaran pahala dan keredaan daripada Allah S.W.T.
Biro Dakwa dan Pendidikan
Badan Kebajikan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur & Putrajaya (BAKSWIP)