Program Literasi Undang-Undang




PROGRAM LITERASI UNDANG - UNDANG
Wilayah Persekutuan Labuan, 09 Ogos 2026 - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) Cawangan Labuan telah mengambil bahagian dalam Reruai Program Literasi Undang-Undang Tahun 2026 melalui sesi pendedahan dan perkongsian berkaitan Pusat Sulh.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapan beliau, YB Senator menekankan kepentingan memperkasakan Syariah melalui program literasi undang-undang, khususnya dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap peranan serta pelaksanaan undang-undang Syariah.
Penyertaan MSWP melalui reruai ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan, fungsi dan manfaat Pusat Sulh sebagai salah satu mekanisme penyelesaian pertikaian secara damai, teratur dan berkesan.
Melalui reruai yang disediakan, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung serta memahami dengan lebih dekat kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Mahkamah Syariah, khususnya berkaitan proses Sulh. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai akses kepada perkhidmatan Syariah yang disediakan.
Selain itu, program turut diserikan dengan Forum Kempen Kesedaran Jenayah Syariah bertajuk “Akad Nikah Sah, Masa Depan Terjamin: Kenali Undang-Undang Pernikahan” yang mengetengahkan perkongsian dan perbincangan berkaitan kesedaran masyarakat terhadap jenayah Syariah serta kepentingan memahami peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Forum tersebut menampilkan Tuan Masniza @ Mohd Nizar bin Mohtar, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ustazah Nur Aida binti Mohammad, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai ahli panel. Forum ini telah dipengerusikan oleh Tuan Ali Najmi bin Mohd Noordin, Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan selaku moderator.
Forum ini menjadi platform perkongsian ilmu yang memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan serta pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai isu-isu berkaitan jenayah Syariah, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Program ini turut menjadi platform interaksi antara warga Mahkamah Syariah bersama agensi-agensi agama yang lain dengan masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai undang-undang Syariah, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, mesra pelanggan dan efisien.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YB Dato' Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman,Ahli Parlimen Labuan. Dalam ucapan beliau, YB Dato' Indera menekankan kepentingan literasi undang-undang dalam kalangan masyarakat sebagai medium untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta kefahaman orang ramai terhadap undang-undang dan hak-hak yang berkaitan seterusnya membentuk masyarakat yang lebih cakna dan peka terhadap perundangan.
Turut hadir memeriahkan program ialah YAA Dato' Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; YAA Tuan Haji Mohd Asri bin Haji Tahir, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan; YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer; serta YBrs. Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah / Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta, ahli panel, moderator, pengunjung serta pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Literasi Undang-Undang Tahun 2026.
Semoga inisiatif seumpama ini terus menjadi wadah dalam memperkasakan literasi undang-undang, meningkatkan kefahaman masyarakat serta mendekatkan perkhidmatan Syariah dengan komuniti selaras dengan usaha berterusan untuk memastikan masyarakat lebih cakna, berpengetahuan dan memahami hak serta tanggungjawab di sisi undang-undang.
ATAS
https://www.data.gov.my CDO Procurement