Seksyen Sulh adalah salah satu seksyen yang diletakkan di bawah Bahagian
Pendaftaran dan Pengurusan Kehakiman MSWP.
Seksyen ini
berperanan untuk menyediakan perkhidmatan sulh kepada pihak-pihak yang bertikai.
Pelaksanaan sulh adalah sebagai satu alternatif yang diwujudkan oleh MSWP dalam
mempercepatkan penyelesaian kes yang didaftarkan di Mahkamah
Syariah. Sebelum melalui proses perbicaraan, kes-kes
bersesuaian yang telah didaftarkan perlu melalui proses sulh terlebih dahulu
bagi membincangkan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan oleh pihak-pihak. Sekiranya
pihak-pihak ketika sesi Majlis Sulh berjaya mencapai persetujuan terhadap
pertikaian secara damai, Pegawai Sulh akan menyediakan perjanjian penyelesaian
untuk ditandatangani oleh pihak-pihak. Perjanjian penyelesaian yang telah
ditandatangani tersebut akan dihantar ke Yang Arif Hakim di Mahkamah untuk
diendors sebagai satu perintah mahkamah yang mengikat pihak-pihak.
Kewujudan
seksyen ini dilihat dapat menyelesaikan kes dengan cepat dan sekaligus
mengelakkan perbicaraan yang panjang.
Perkhidmatan
sulh ini ditawarkan di ketiga-tiga wilayah persekutuan iaitu di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan
Putrajaya.
Majlis Sulh
“Suatu
sesi pengantaraan antara pihak-pihak yang bertikai yang dipengerusikan oleh
Pegawai Sulh untuk menyelesaikan kes
dengan cara Sulh”
Peruntukan Undang-Undang dan Rujukan Mengenai Pelaksanaan Sulh
1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1998
Seksyen 99. Sulh.
“Pihak-pihak dalam
apa-apa prosiding boleh pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh
untuk menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah yang ditetapkan
atau, jika tiada kaedah sedemikian mengikut Hukum Syarak.”
Seksyen 131. Penghakiman persetujuan.
“Penghakiman atas
pengakuan atau persetujuan pihak-pihak, termasuklah sulh, boleh direkodkan
oleh Mahkamah pada bila-bila masa.”
Kelebihan Sulh
1. | Perundingan adalah bersifat terpimpin dan bukannya dominasi sebelah pihak. |
2. | Segala yang dibincangkan adalah bersifat kerahsiaan. |
3. | Penyelesaian secara terbuka dan sukarela (keredhaan), bukannya melepas dendam. |
4. | Mengekalkan hubungan baik dan saling hormat menghormati. |
5. | Menjimatkan kos dan masa. |
6. | Mengelakkan perbicaraan yang memakan tempoh yang panjang. |
7. | Mempercepatkan penyelesaian kes. |
8. | Kebebasan pihak-pihak untuk berbincang. |
9. | Menyelesaikan konflik dan pertikaian dengan cepat. |
10. | Mengurangkan trauma. |
11. | Menjaga maruah dan aib pihak-pihak. |
Faktor Yang Menyebabkan Majlis Sulh Berjaya
(1)
Pihak-pihak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan
pertikaian mereka di luar mahkamah.
(2)
Pihak-pihak bersedia memberi dan menerima bagi
mencapai penyelesaian secara damai.
(3)
Pihak-pihak bersedia berunding dengan ikhlas dan
terbuka, bukannya secara emosi atau berniat untuk membalas dendam.
(4)
Pihak-pihak sedar bahawa penyelesaian secara damai
adalah demi kepentingan di masa hadapan.
(5) Pihak-pihak jelas akan kelebihan dan kekurangan jika tuntutan mereka dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.
Faktor Yang
Menyebabkan Majlis Sulh Tidak Berjaya
(1)
Salah satu pihak atau kedua-dua pihak tiada upaya
untuk membuat keputusan.
(2)
Tiada komitmen diberikan untuk menyelesaikan
pertikaian.
(3)
Tiada persediaan oleh pihak-pihak sebelum sesi sulh bermula.
(4)
Pihak-pihak dipengaruhi oleh pihak ketiga di dalam
membuat keputusan.
(5)
Pihak-pihak tidak jelas akan halatuju kes yang
difailkan dan tidak mengetahui akan hak-hak mereka berkait dengan tuntutan yang
difailkan.
Tuntutan yang boleh dibawa ke Majlis Sulh
1 | Ganti rugi pertunangan | 11 | Mengubah perintah jagaan anak atau nafkah anak |
2 | Muta’ah | 12 | Mengubah perjanjian jagaan anak atau nafkah anak |
3 | Harta sepencarian | 13 | Hadhanah |
4 | Nafkah isteri | 14 | Ganti rugi perkahwinan |
5 | Nafkah kepada pihak tidak upaya | 15 | Hak tempat tinggal |
6 | Cagaran nafkah | 16 | Perintah supaya hidup bersama semula |
7 | Nafkah ‘iddah | 17 | Perintah supaya isteri kembali taat kepada suami |
8 | Mengubah perintah nafkah | 18 | Mas kahwin; atau |
9 | Tunggakan nafkah | 19 | Mana-mana kes yang diperintahkan oleh Hakim yang pada pendapatnya perlu untuk dirujukkan kepada Majlis Sulh. |
10 | Nafkah anak |