Cetak

Soalan Lazim

BAHAGIAN A          : KES MAL

 

  1. PERMASTAUTINAN

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya tinggal di Selangor tetapi saya bekerja di Kuala Lumpur, bolehkah saya memfailkan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?

 

Anda boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekiranya anda bermastautin atau tinggal di Kuala Lumpur.

 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan yang dibenarkan menurut undang-undang yang membolehkan anda memfailkan kes di Kuala Lumpur walaupun tidak bermastautin atau tinggal di Kuala Lumpur, seperti contoh perkara yang diperuntukkan dalam seksyen 24 dan 45 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], seksyen 122 Akta 303 berkaitan pemfailan kes harta sepencarian berdasarkan perintah perceraian dikeluarkan dan juga kes-kes ubah perintah difailkan berdasarkan kepada perintah asal dikeluarkan.

 

2

Saya tinggal di Selangor dan di Kuala Lumpur tetapi kad pengenalan saya beralamat di Kuala Lumpur.  Bolehkah saya  memfailkan kes di Kuala Lumpur?

 

Anda boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jika anda bermastautin atau tinggal di Kuala Lumpur.

3

Saya tinggal di Kuala Lumpur tetapi alamat dalam kad pengenalan saya masih beralamat di kampung asal iaitu di luar Kuala Lumpur. Bolehkah saya  memfailkan kes di Kuala Lumpur?

 

 

Anda boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, anda perlu mendapatkan surat pengesahan bermastautin/anak kariah dari masjid di tempat tinggal anda di Kuala Lumpur.

 

 

4

Saya telah bercerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi saya telah berpindah ke Kedah. Bolehkah saya memfailkan tuntutan harta sepencarian di Kedah?

 

Tidak boleh, kes harta sepencarian hendaklah difail dan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah di negeri yang memutuskan perceraian.

5

Saya bercerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi sekarang saya tinggal di Shah Alam, Selangor. Di manakah saya boleh memfailkan permohonan berkaitan tuntutan hadhanah, nafkah anak, nafkah iddah, dan mutaah?

 

Anda boleh memfailkan permohonan berkaitan tuntutan hadhanah, nafkah anak, nafkah iddah, dan mutaah di tempat anda bermastautin.

6

Saya baru 2 bulan berpindah ke Kuala Lumpur. Sebelum ini saya tinggal di Selangor dan kad pengenalan saya beralamat di Selangor. Di manakah saya perlu memfailkan kes tuntutan perceraian?

 

Anda perlu memfailkan tuntutan perceraian di Selangor. Anda hanya boleh memfailkan tuntutan perceraian di  Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  sekurang-kurangnya selepas 3 bulan bermastautin di Kuala Lumpur dengan menyertakan surat pengesahan bermastautin/anak kariah ketika memfailkan tuntutan perceraian tersebut.

 

7

Saya tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur manakala suami saya tinggal di Terengganu. Saya ingin memfailkan tuntutan perceraian secara taklik tetapi suami tidak mahu datang ke Kuala Lumpur. Di manakah saya boleh memfailkan kes tersebut sama ada di Kuala Lumpur atau Terengganu?

 

Anda boleh memfailkan tuntutan tersebut di Kuala Lumpur iaitu tempat anda bermastautin.

 

 

8

Saya adalah pemegang kad pelarian UNHCR dan tinggal di Kuala Lumpur. Bolehkah saya memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur?

 

Anda boleh memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan mengemukakan Surat surat pengesahan bermastautin atau pengesahan tempat tinggal dari kariah masjid.

 

9

Di manakah permohonan faraid boleh difailkan? Adakah mengikut alamat pemastautinan atau di mana harta tersebut berada?

Permohonan faraid hendaklah difailkan mengikut tempat pemastautinan pemohon.

 

Sekiranya pemohon bukan pemastautin di mana-mana negeri dalam Malaysia, permohonan faraid boleh dibuat di mana-mana negeri yang terdapat harta si mati. (Arahan Amalan 2/2003)

 

10

Saya bermastautin di Putrajaya tetapi kad pengenalan saya beralamat di Perak iaitu kampung saya. Di manakah sepatutnya kes saya difailkan?

Anda boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya. Walau bagaimanapun, anda perlu mengemukakan dokumen sokongan tempat tinggal atau surat pengesahan bermastautin/kariah dari masjid di tempat tinggal anda.

 

11

Saya menetap di Putrajaya dan ingin memfailkan permohonan perceraian manakala suami saya menetap di Pahang. Di mana saya boleh memfailkan permohonan perceraian tersebut?

 

Anda boleh memfailkan permohonan perceraian tersebut di MSWP Putrajaya iaitu tempat anda bermastautin.

12

 

Saya pemegang pas lawatan sosial, bolehkah saya memfailkan permohonan pengesahan pernikahan di sini kerana saya cuma berkahwin secara kampung?

Anda boleh memfailkan permohonan pengesahan pernikahan di sini dengan syarat anda menyertakan surat permastautinan atau pengesahan tempat tinggal dari kariah masjid dan dokumen sokongan berkenaan perkahwinan.

 

 

 

 

  1. PENDAFTARAN PERNIKAHAN LUAR NEGARA

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya dan pasangan telah bernikah mengikut hukum Syarak di Malaysia tetapi perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di Pejabat Agama. Bagaimanakah prosedur untuk saya memohon perceraian? Perlukah saya memfailkan tuntutan pengesahan pernikahan terlebih dahulu?

 

Ya. Anda perlu membuat pengesahan pernikahan terlebih dahulu sebelum memfailkan permohonan perceraian.

 

 

2

Saya telah bernikah di Indonesia dan kemudiannya saya datang ke Malaysia dan mendapat status Pemastautin Tetap (PR) di Malaysia. Bolehkah saya membuat permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah tersebut di MSWP?

Anda hanya boleh membuat permohonan pengesahan nikah sekiranya anda telah memperolehi status PR semasa bernikah.

 

Sekiranya status PR tersebut hanya diperolehi selepas anda bernikah, anda tidak boleh mendaftarkan pernikahan anda di sini.

 

3

Saya telah berkahwin di Thailand dan ingin mendaftarkan perkahwinan tersebut. Apa yang patut saya lakukan?.

 

Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan/pendaftaran pernikahan di Mahkamah Syariah tempat anda bermastautin ketika berkahwin.

 

4

Saya tinggal di Kuala Lumpur tetapi berkahwin di luar Malaysia dan masih belum membuat pengesahan dan pendaftaran nikah. Sekiranya saya telah bercerai, bagaimanakah prosedur untuk saya membuat permohonan pengesahan perceraian?

 

Anda boleh membuat pengesahan pernikahan dan pengesahan perceraian serentak atau berasingan di Kuala Lumpur.

5

Saya tinggal di Selangor dan berkahwin di Thailand. Selepas berkahwin saya telah menyewa sebuah rumah di Kuala Lumpur dan tinggal di situ selama 1 tahun.  Sekiranya saya berhasrat untuk mendaftarkan pernikahan kami, bolehkah saya memfailkan permohonan tersebut di MSWPKL?

 

Permohonan Pendaftaran Pernikahan hendaklah difailkan di negeri tempat bermastautin ketika pernikahan dijalankan.

 

 

6

Saya telah berkahwin di Thailand semenjak 15 tahun yang lalu dan ingin mendaftarkan perkahwinan tersebut. Perlukah saya mengemukakan surat konsulat di samping surat nikah?

Anda boleh memfailkan permohonan pengesahan perkahwinan tersebut dengan mengemukakan semua dokumen sokongan yang berkaitan dengan pernikahan di Thailand.

 

7

Saya telah berkahwin di negara jiran iaitu Thailand tanpa kehadiran / kebenaran Wali Nasab, adakah sah perkahwinan saya?

Penentuan mengenai keesahan sesuatu perkahwinan tersebut akan diputuskan oleh Mahkamah. Anda hendaklah terlebih dahulu memfailkan permohonan pengesahan/ pendaftaran pernikahan  di Mahkamah Syariah tempat anda bermastautin dalam masa 6 bulan daripada tarikh perkahwinan tersebut seperti yang diperuntukkan oleh subseksyen 31(1) Akta 303. 

 

 

 

 

 

 

  1. PERCERAIAN

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perceraian’ di Mahkamah?

Perceraian ialah lafaz talak yang dilafazkan oleh suami di dalam Mahkamah dan dengan kebenaran Mahkamah.

 

2

Suami saya telah melafazkan cerai di luar Mahkamah kepada saya. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai.

 

3

Suami saya telah menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (sms) kepada kawan saya yang menyatakan bahawa suami saya telah menceraikan saya dan kawan saya telah menunjukkan sms tersebut kepada saya.  Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah.

4

Suami saya telah melafazkan cerai dan telah keluar dari rumah kami. Adakah saya perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai atau taklik?

 

Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah.

5

Suami saya telah melafazkan cerai (lafaz soreh) tetapi beliau tidak mahu hadir ke Mahkamah dan saya tidak mengetahui alamat tempat tinggal atau kerja suami. Apakah  yang perlu saya lakukan?

  1. Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah.

 

2.      Anda dinasihatkan untuk mendapatkan alamat terakhir suami.

 

6

Saya telah bercerai. Apakah tuntutan yang boleh dituntut selepas perceraian?

Antara tuntutan selepas perceraian yang boleh dituntut ialah :

 

Hak Bekas Isteri

 

  1. Nafkah Iddah;
  2. Mut’ah; dan
  3. Harta sepencarian.

 

 

Tuntutan Berkaitan Anak

 

  1. Hadhanah; dan
  2. Tuntutan Nafkah Anak.

 

7

Saya dan pasangan telah bercerai di luar negara tetapi masih belum membuat permohonan pengesahan perceraian tersebut. Bagaimanakah caranya jika saya ingin memfailkan permohonan berkaitan hadhanah di MSWPKL?

 

Anda perlu memfailkan permohonan pengesahan perceraian yang berlaku di luar negara tersebut terlebih dahulu sebelum memfailkan tuntutan-tuntutan selepas perceraian yang lain termasuk hadhanah.

 

8

Saya telah bercerai di luar mahkamah 2 bulan yang lepas tetapi tidak melaporkan perceraian tersebut kepada Mahkamah. Apakah yang patut saya lakukan?

 

Anda hendaklah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah dengan segera.

9

Saya ingin memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah Syariah, berapa lamakah tempoh masa kes saya akan selesai?

Kes tersebut boleh selesai serta merta sekiranya semua dokumen yang difailkan adalah lengkap serta mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak.

 

10

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya suami saya telah meninggalkan saya lebih dari 2 tahun tanpa khabar berita dan nafkah.

 

Anda boleh memfailkan permohonan perceraian secara fasakh atau taklik.

11

Apakah perbezaan antara perceraian secara fasakh dan taklik.

Fasakh ialah pembubaran perkahwinan yang dibuat dengan perintah Mahkamah berdasarkan alasan-alasan di bawah Seksyen 52, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

 

Taklik ialah pelanggaran lafaz taklik oleh suami yang dibuat semasa akad nikah.

 

12

 

Suami saya telah melafazkan cerai kepada saya melalui panggilan telefon dan telah menghilangkan diri, apakah yang perlu saya buat?

Anda perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan  saksi dan keterangan yang lengkap.

 

13

Saya tiada saksi dan tidak mengetahui tempat tinggal terkini beliau. Apakah yang perlu saya buat?

Anda boleh memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh atau taklik atau mana-mana tuntutan perceraian yang berkaitan mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

 

14

Saya ingin membuat tuntutan perceraian tetapi saya tidak memiliki sijil nikah kerana berkahwin secara kampung dan suami saya telah menghilangkan diri. Apakah yang perlu saya lakukan?

Anda boleh memfailkan permohonan pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah Syariah untuk menentukan status perkahwinan anda sebelum membuat apa-apa tuntutan yang lain.

 

15

 

Saya baru mendaftarkan perceraian saya di JAWI. Apakah tuntutan yang boleh saya tuntut selepas ini?

 

 

Anda boleh membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah iddah, mut’ah, harta sepencarian, hadhanah, nafkah anak dan lain-lain.

16

Suami saya berada di Semenanjung Malaysia dan tidak dapat hadir dalam perbicaraan permohonan perceraian menurut seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 kerana masalah masa dan kos. Apakah jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut?

 

Anda boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran supaya lafaz cerai tersebut boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah di Semenanjung Malaysia yang berhampiran dengan tempat tinggal suami.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  1. RUJUK

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya dan isteri telah bercerai di luar Mahkamah dan perceraian tersebut telah disahkan oleh Mahkamah. Bagaimanakah caranya jika kami berhasrat untuk rujuk dalam tempoh iddah?

 

Bolehkah kami tinggal serumah dalam tempoh iddah ?

 

 

 

 

Perlukah kami rujuk di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah ?

 

Sekiranya masih dalam tempoh iddah, pasangan dinasihatkan supaya pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk proses rujuk di hadapan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

 

Bagi tempoh iddah dalam talak raji'e, suami isteri masih boleh tinggal serumah tetapi tidak boleh membuat hubungan kelamin. Bagi talak bain, suami isteri tidak boleh tinggal serumah.

 

Tidak perlu.

2

Saya dan isteri telah rujuk dalam tempoh iddah tetapi tidak mendaftarkan rujuk tersebut di hadapan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk sehingga habis tempoh iddah. Di manakah saya perlu membuat pengesahan rujuk tersebut?.

Permohonan Pengesahan Rujuk di Mahkamah Syariah hendaklah difailkan terhadap mana-mana rujuk sama ada yang dibuat semasa atau selepas tempoh iddah tetapi tidak didaftarkan di Pejabat Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam.

 

3

Bolehkah suami melafazkan rujuk tanpa pengetahuan atau persetujuan isteri?

 

Anda hendaklah membuat pengesahan rujuk di hadapan Mahkamah Syariah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  1. HARTA SEPENCARIAN

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya adalah anak arwah ibu saya dengan arwah suaminya yang pertama. Selepas ayah kandung saya meninggal dunia, ibu saya berkahwin lain. Sekarang ibu saya telah meninggal dunia. Bolehkah saya membuat tuntutan harta sepencarian bagi pihak arwah ayah saya.

 

Berdasarkan Arahan Amalan No 5 Tahun 2003, Mahkamah boleh menerima pemfailan mana-mana tuntutan harta sepencarian yang dibuat selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan tersebut dan keputusan akan dibuat selepas Mahkamah berpuas hati setelah meneliti dan mendengar keterangan pihak-pihak.

 

2

 

Saya dan pasangan telah bercerai di Wilayah Persekutuan namun tiada perintah berkenaan harta sepencarian. Apakah yang perlu saya lakukan?.

 

Anda boleh memfailkan kes Harta Sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

3

Saya dan pasangan telah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur tetapi sekarang telah menetap dan bermastautin di Shah Alam. Di mana saya patut memfailkan tuntutan harta sepencarian?

 

Anda hendaklah memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah di negeri yang mengeluarkan perintah cerai tersebut.

4

 

Adakah seorang isteri yang tidak bekerja layak untuk mendapat harta sepencarian?

Isteri yang tidak bekerja layak dan berhak untuk mendapat harta sepencarian dengan syarat dia membuktikan bahawa dia telah memberikan sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap pemilikan / pemerolehan harta tersebut.

 

5

Bolehkah seorang isteri menuntut harta sepencarian dengan suaminya ketika masih lagi dalam perkahwinan?

Tidak boleh berdasarkan kehendak Arahan Amalan No 5 Tahun 2003 kecuali jika suami adalah seorang yang berpoligami menurut seksyen 23 (9) (b) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

 

 

 

 

  1. HADHANAH / ANAK ANGKAT / NAFKAH ANAK

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya dan suami telah mengambil anak angkat dan berhasrat supaya anak tersebut berbinkan kepada suami saya. Bolehkah saya membuat permohonan tersebut di MSWP dan permohonan apa yang perlu saya pohon?

 

Tidak boleh. Puan boleh merujuk terus perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

2

Saya dan suami telah mengambil anak angkat dan proses tersebut telah didaftarkan. Sekiranya kami bercerai, bolehkah saya memfailkan tuntutan nafkah anak angkat tersebut.

 

Ya, anda berhak memfailkan tuntutan nafkah anak angkat tersebut berdasarkan seksyen 78 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

3

Saya dan suami telah mengambil anak angkat dan proses tersebut telah didaftarkan. Semasa anak angkat tersebut kecil saya telah memberi susu badan kepada anak tersebut. Tahun lepas kami telah bercerai, bolehkah saya memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak angkat tersebut?.

 

Ya, anda boleh memfailkan tuntutan-tuntutan tersebut.

4

Anak saya telah dibawa lari oleh suami. Apakah yang perlu saya lakukan?

Anda perlu memfailkan permohonan tuntutan hadhanah dan memohon supaya kes tersebut didengar dengan kadar yang segera dengan memfailkan notis perakuan segera.

 

5

Bekas suami saya telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar sejumlah nafkah dengan potongan gaji daripada majikannya tetapi majikannya gagal untuk membuat pemotongan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Anda boleh membuat permohonan Penguatkuasaan Perintah Nafkah atau merujuk terus perkara ini kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)

 

 

6

Mahkamah telah mengeluarkan perintah bahawa anak saya adalah anak tidak sah taraf. Setelah  bercerai dengan suami, bolehkah saya membuat permohonan nafkah anak.

Dari segi hukum Syarak, bapa biologi tidak difardukan untuk membayar nafkah anak tidak sah taraf. Tetapi tidak menjadi kesalahan untuk puan memfailkan tuntutan tersebut.

7

Perintah hadhanah telah dipohon dan diperolehi di antara ibu dan bapa. Nenek bercadang untuk turut memohon hadhanah. Bolehkah nenek tersebut membuat permohonan  ubah perintah?

 

Permohonan tersebut boleh difailkan dengan menamakan ibu @ bapa (pihak2 yang mendapat hak jagaan anak) sebagai Defendan.

8

Bolehkah saya memohon hadhanah terhadap anak yang berada di dalam kandungan bekas isteri saya sekarang?

Tuan dinasihatkan memfailkan permohonan hadhanah selepas anak tersebut selamat dilahirkan.

 

 

 

 

 

  1. SULH

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Apakah Majlis Sulh?

 

Majlis Sulh ialah majlis perbincangan bersama di antara Plaintif dan Defendan yang dipengerusikan oleh Pegawai Sulh mengikut Manual Kerja Sulh tanpa kehadiran pihak ketiga atau peguam.

 

2

Bilakah Majlis Sulh diadakan?

Tarikh sebutan pertama akan dibuat dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan di mahkamah Syariah.

 

3

Adakah semua tuntutan atau permohonan mesti melalui Majlis Sulh?

Tidak. Terdapat hanya 18 kes sahaja yang dirujuk ke Majlis Sulh berdasarkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2010.

 

4

Adakah Plaintif dan Defendan perlu melalui Majlis Sulh walaupun pihak-pihak tersebut tetap ingin meneruskan perbicaraan?

Pihak-pihak perlu melalui Majlis Sulh walaupun tiada apa-apa persetujuan direkodkan. Pengecualian hanya diberikan kepada pihak-pihak yang telah menjalani proses Mediasi di Jabatan Bantuan Guaman atau mempunyai Perjanjian Penyelesaian/Persetujuan di hadapan Peguam Syarie.

 

5

Sekiranya Majlis Sulh ini berjaya, apakah tindakan selanjutnya?

Persetujuan yang dicapai dalam Majlis Sulh akan diendorskan di hadapan Hakim sebagai perintah Mahkamah.

 

6

Sekiranya Majlis Sulh ini gagal, apakah langkah seterusnya?

Sekiranya Majlis Sulh gagal, penyerahan saman akan dibuat kepada pihak-pihak untuk proses sebutan di hadapan Pendaftar.

 

7

Apakah kelebihan Majlis Sulh?

Majlis Sulh menjimatkan masa, kos Mahkamah dan pihak-pihak yang bertikai tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang.

8

Sekiranya perbicaraan sedang dijalankan dan pihak-pihak bersetuju untuk berbincang, bolehkah pihak-pihak memohon untuk ke Majlis Sulh?

 

Pihak-pihak boleh memohon untuk Majlis Sulh dengan memohon kebenaran kepada Hakim Bicara.

9

Sekiranya pihak-pihak ada persetujuan tetapi tidak boleh bersua muka dalam satu kamar, bagaimanakah sesi Sulh di jalankan?

 

Sesi Sulh boleh dijalankan secara kaukus iaitu secara berasingan.

10

Bolehkah kes Ubah Perintah dijalankan di Majlis Sulh?

Boleh.

 

11

Sekiranya kes perceraian dibicarakan dalam mahkamah, bolehkah kes hadhanah dijalankan di Majlis Sulh?

 

Boleh.

12

Sekiranya perintah berkenaan nafkah telah dilaksanakan seperti hutang telah dilunaskan dan anak-anak telah bekerja, bolehkah perubahan perintah dibuat di Majlis Sulh?

 

Boleh. Sekiranya terdapat persetujuan yang dicapai dalam Majlis Sulh, perkara tersebut akan diendorskan di hadapan Hakim sebagai perintah Mahkamah. Sekiranya tiada persetujuan, kes akan dipanjangkan ke Dewan Mahkamah untuk prosiding perbicaraan.

 

13

Berapa lamakah tempoh masa Majlis Sulh dijalankan sebelum dipindahkan ke Dewan Bicara sekiranya tidak ada persetujuan?

 

Majlis Sulh dijalankan tidak melebihi 3 bulan selepas kes didaftarkan di Mahkamah.

14

Siapakah yang terlibat di dalam sesi Majlis Sulh?

 

Pihak-pihak yang bertikai dan Pegawai Sulh.

15

Sekiranya mencapai persetujuan, perlukah kes yang disebut dalam Majlis Sulh didengar semula di dalam Dewan Bicara?

Tidak, pihak-pihak hanya perlu hadir di hadapan Hakim untuk mengendorskan persetujuan tersebut sebagai perintah Mahkamah.

 

16

Adakah perlu membawa anak yang mencapai umur mumaiyiz ke Majlis Sulh untuk kes Hadhanah?

Tidak perlu kecuali dengan persetujuan dan permintaan pihak-pihak atau dengan arahan Pegawai Sulh.

 

17

Sekiranya salah satu pihak adalah banduan (kecuali banduan akhir atau banduan penjara seumur hidup), adakah perjanjian boleh dijalankan walaupun mengambil masa yang lama untuk banduan itu dibebaskan?

 

Boleh sekiranya ada persetujuan.

18

Sekiranya pembayaran bagi tuntutan diminta secara pukal, bolehkah atas dasar persetujuan pembayaran dibuat secara berkala/ansuran?

 

Boleh sekiranya ada persetujuan. Persetujuan yang dicapai dalam Majlis Sulh akan diendorskan di hadapan Hakim sebagai perintah Mahkamah.

 

19

Bagaimana sesi Majlis Sulh di laksanakan sekiranya pihak-pihak yang terlibat adalah OKU seperti buta, bisu dan pekak?

Majlis Sulh akan berjalan dengan bantuan penterjemah bahasa isyarat yang disediakan oleh pihak-pihak dengan kebenaran Pegawai Sulh.

 

 

 

 

  1. FARAID / WASIAT & HIBAH

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Setelah mendapat Perintah Faraid bagi harta pusaka arwah ayah saya, saya mendapat tahu arwah ayah saya mempunyai harta yang lain, apakah yang perlu saya buat ?

 

Anda boleh memfailkan permohonan mengubah perintah harta pusaka @ membuat semakan jika perlu.

2

Arwah suami saya telah meninggalkan wang di dalam akaun Tabung Haji sebanyak RM50,000. Apa yang patut saya lakukan?.

Anda hendaklah memfailkan permohonan penentuan ahli waris di Mahkamah Rendah Syariah jika harta tersebut tidak melebihi RM50,000. Sekiranya jumlah tersebut melebihi RM50,000 dan ke atas, maka permohonan tersebut hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.

 

3

 

Arwah anak lelaki saya telah menamakan isterinya sebagai penama bagi caruman KWSP dan isterinya berhasrat untuk membolot wang tersebut. Apakah yang patut saya lakukan?.

Anda boleh memfailkan permohonan injuksi untuk menghalang wang tersebut dari dikeluarkan oleh penama. Seterusnya anda hendaklah memfailkan Permohonan Sijil Faraid/Akuan Pusaka di Mahkamah Syariah mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.

 

4

Wang peninggalan Tabung Haji arwah anak saya telah dihabiskan oleh menantu saya. Apakah yang perlu saya lakukan?

Anda boleh memfailkan permohonan faraid untuk penentuan jumlah kadar yang layak anda dapat. Sekiranya menantu anda enggan memberikan hak tersebut, anda boleh memfailkan permohonan penguatkuasaan perintah.

 

5

Saya telah mendapat perintah faraid daripada pihak mahkamah, tetapi dalam perintah tersebut tidak menyatakan secara terperinci jumlah yang sepatutnya diperolehi daripada pembahagian harta tersebut.

Mahkamah hanya membuat pembahagian kepada ahli waris yang layak berdasar hukum Syarak dan perkiraan secara terperinci jumlah yang sepatutnya diperolehi perlulah dibuat oleh waris sendiri berdasar bahagian masing-masing yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

 

 

6

 

Anak saya adalah penama tunggal untuk mewarisi simpanan KWSP suami saya, tetapi anak saya baru berumur 5 tahun. Apakah saya perlu buat?

 

Permohonan faraid perlu difailkan ke dalam mahkamah bagi menentukan ahli waris yang layak terhadap simpanan KWSP tersebut. Selain daripada itu, anda dinasihatkan untuk memfailkan permohonan perlantikan penjaga-penjaga oleh mahkamah di bawah seksyen 90 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

 

7

 

Saya telah menerima perintah faraid daripada MSWP Labuan dan salah satu harta yang tersenarai adalah simpanan ASB. Mengapakah ASB tidak mengguna pakai perintah faraid MSWP Labuan?

 

Anda hendaklah memohon sebagai Pentadbir Harta (PA) dari Mahkamah Tinggi Sivil terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat apa-apa transaksi.

8

Bolehkah saya mewakili bapa mertua saya dalam kes permohonan pengesahan wasiat melibatkan beliau kerana bapa mertua saya mempunyai masalah pendengaran.

 

Anda boleh mewakili bapa mertua anda dengan syarat anda mendapat kebenaran daripada Hakim atau anda dilantik sebagai ad litem atau melantik mana-mana peguam yang bertauliah.

 

9

Bilakah saya boleh mengambil perintah faraid?

 

 

Perintah faraid boleh diambil selepas 7 hari (bekerja) kes selesai.

 

 

 

 

 

  1. BON JAMINAN & DEPOSIT

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Bolehkah bon jamin ditukarkan sebagai denda?

  Boleh, dengan syarat mendapat perintah  Hakim.

 

2

 

Berapa lamakah proses pemulangan bon jamin?

 

Proses pemulangan bon jamin akan dibuat dalam tempoh tidak melebihi 14 hari bekerja sekiranya dokumen yang diperlukan adalah lengkap.

 

3

Dokumen apa yang diperlukan untuk pemulangan bon jamin?

 

Dokumen yang diperlukan untuk pemulangan bon jamin ialah resit asal, salinan penyata bank, salinan kad pengenalan, bon jamin asal dan salinan perintah mahkamah.

 

4

Jika resit asal hilang bolehkah wang jamin dikembalikan?

 

Boleh dengan syarat anda mengemukakan surat akuan sumpah yang diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam.

 

5

Adakah buku bank diperlukan semasa urusan pemulangan bon jamin? Jika buku bank tersebut tidak ada, apakah tindakan yang diperlukan?

 

Ya, buku bank / salinan muka surat hadapan buku bank/penyata akaun diperlukan untuk mengembalikan wang tersebut. Jika tiada buku bank, bayaran pemulangan bon jamin boleh dibuat melalui cek.

 

6

Jika Pendeposit meninggal dunia, bolehkah waris menuntut pemulangan bon jamin?

Boleh dengan syarat waris tersebut mengemukakan surat mati dan akuan sumpah yang diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam.

 

7

Saya bekerja di pelantar minyak di Dubai dan kes saya di mahkamah telah selesai. Berapa lamakah tempoh saya boleh menuntut wang deposit?.

 

Anda boleh menuntut wang deposit pada bila-bila masa dalam tempoh 12 bulan selepas kes selesai / menjalani hukuman.

8

Jika saya tidak menuntut dalam tempoh tersebut, apakah yang akan terjadi kepada wang deposit tersebut?

Wang tersebut akan diwartakan sebagai wang hasil kerajaan.

 
  1. LAIN-LAIN

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Adakah afidavit boleh dibaca di hadapan Penolong Pendaftar?

 

Boleh.

2

Saya telah disabitkan nusyuz oleh mahkamah. Apakah hak-hak saya yang gugur selepas sabitan nusyuz tersebut?

Hak isteri yang gugur setelah disabitkan nusyuz oleh mahkamah ialah nafkah isteri dan nafkah iddah.

 

3

Klien sukar datang ke Kuala Lumpur untuk membaca wakalah. Bolehkah wakalah tersebut dibaca melalui video conference?

 

Boleh, dengan syarat anda membuat permohonan secara bertulis dalam tempoh 7 hari kepada Pendaftar untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

 

4

Saya telah mendapat perintah bagi Permohonan Wali Hakim pada bulan Jun 2016 yang lalu untuk berkahwin di Pulau Pinang. Sekarang (September 2016) saya berhasrat untuk menukar  tempat nikah ke Kuala Lumpur, Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Puan perlu merujuk perkara tersebut ke Pejabat Nikah Cerai & Rujuk di JAWI.

5

Isteri saya telah keluar dari rumah kelamin kami dan balik ke rumah ibunya tanpa kebenaran serta alasan yang munasabah dan sampai sekarang isteri saya masih belum balik lagi. Saya juga mendapati isteri saya mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Apa saya boleh lakukan?

 

Anda boleh memfailkan kes Tuntutan Sabitan Nusyuz terhadap isteri atau kes Tuntutan Isteri Kembali Taat.

6

Saya merupakan ahli keluarga pemohon. Bolehkah saya memfailkan Permohonan Semakan ke atas kes pemohon?                    

Permohonan Semakan boleh dibuat oleh sesiapa saja yang mempunyai kepentingan terhadap kes tersebut.

 

Walau bagaimanapun, semakan tidak dibenarkan jika kes tersebut boleh dirayu.

 

 

7

Bolehkah afidavit/wakalah bagi kes yang hendak difailkan di MSWP Labuan dibacakan di hadapan pendaftar/hakim Mahkamah Syariah Kota Kinabalu?

Boleh, mengikut Seksyen 112 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, afidavit boleh diikrarkan di negeri lain di Malaysia mengikut kehendak kes.

 

8

Saya mempunyai kes di mahkamah pada hari ini tetapi tiada orang yang boleh menjaga anak saya di rumah. Bolehkah saya membawa anak saya masuk ke dalam dewan mahkamah?

 

Tidak boleh. Anda dinasihatkan untuk membawa seseorang yang boleh menjaga anak tersebut ketika prosiding sedang berjalan dalam mahkamah.

9

Saya bertugas dalam unit beruniform, bolehkah saya menghadiri perbicaraan dengan  uniform saya ?

 

Boleh, dengan syarat pakaian tersebut mestilah menutup aurat.

10

Saya mempunyai kes di mahkamah pada hari ini tetapi saya terlupa untuk membawa kad pengenalan saya.  Bolehkah saya masuk ke dewan mahkamah?

 

Boleh. Walau bagaimanapun anda dinasihatkan untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri yang lain seperti lesen memandu/kad OKU/kad memeluk Islam atau lain-lain yang berkaitan.

 

11

Bilakah saya boleh mengambil perintah bertulis setelah selesai kes?

 

Anda boleh mengambil perintah bertulis selepas 14 hari bekerja dari tarikh keputusan mahkamah.

 

12

Bolehkah saya membawa masuk telefon bimbit ke dalam mahkamah.

 

Boleh. Walau bagaimanapun, telefon bimbit tersebut hendaklah diletakkan dalam mod senyap atau dimatikan.

 

13

Bagaimanakah cara percakapan / menjawab soalan dalam dewan bicara?

 

 

Anda hendaklah bercakap dengan sopan tetapi kuat dan jelas supaya boleh didengar dan mudah difahami.

 

Anda perlu menggunakan  istilah Yang Amat Arif bagi Ketua Hakim Syarie, Yang Arif bagi Hakim Mahkamah Tinggi dan Tuan Hakim bagi Hakim Mahkamah Rendah.

 

14

Perlukah saya tunduk hormat ketika masuk dan keluar dari dewan bicara?

 

 

Ya, anda perlu tunduk hormat untuk masuk atau keluar dari dewan bicara ketika prosiding sedang berjalan.

15

Bolehkah kes saya dipercepatkan memandangkan saya akan berpindah atau disebabkan kes-kes yang tertentu?

 

Anda boleh membuat permohonan di hadapan Hakim dan keputusan adalah tertakluk kepada budi bicara Hakim tersebut.

 

16

Apa perlu saya lakukan setelah kes selesai?

 

Anda boleh memohon perintah bertulis selepas kes selesai. Walau bagaimanapun, perintah bertulis akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh keputusan mahkamah.

 

17

Selepas kes saya selesai di manakah saya hendak mengisi borang perintah?

 

Anda boleh mengisi borang perintah di kaunter mahkamah.

18

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya ahli waris yang lain tidak dapat hadir untuk memberi keterangan dalam kes faraid?

 

 

Kes akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain kecuali terdapat arahan lain daripada Hakim.

19

Saya tidak pandai / tidak faham bahasa melayu. Bolehkah saya menggunakan bahasa lain?

 

Boleh, dengan syarat anda memperolehi kebenaran daripada hakim bicara terlebih dahulu atau anda membawa juru bahasa / penterjemah yang dipersetujui oleh mahkamah.

 

20

Mertua saya mempunyai masalah perdengaran. Bolehkah saya datang ke mahkamah untuk membantu beliau dalam perbicaraan?

 

Boleh, dengan syarat anda memperolehi kebenaran daripada hakim bicara atau anda dilantik sebagai ad litem atau anda melantik mana-mana peguam yang bertauliah oleh mahkamah.

 

21

Bolehkah kes saya dipercepatkan memandangkan saya bekerja di offshore ?

 

Anda boleh membuat permohonan di hadapan Hakim dan keputusan adalah tertakluk kepada budi bicara Hakim tersebut.

 

 

22

Bolehkah saya menghadiri perbicaraan dengan memakai pakaian kerja seperti pakaian petronas dan lain-lain lagi?

 

Boleh, dengan syarat pakaian tersebut mestilah menutup aurat

23

Bolehkah saya keluar dari dewan untuk merokok ?

 

Merokok adalah dilarang di kawasan mahkamah.

24

Bolehkah pendaftaran kes dibayar dengan menggunakan cek atau kad kredit?

 

Bayaran melalui kad kredit / debit hanya boleh dibuat di MSWP Kuala Lumpur sahaja bagi transaksi melebihi RM50.00.

 

Setakat ini kemudahan tersebut masih belum diwujudkan di MSWP Putrajaya dan Labuan.

 

Manakala pembayaran melalui cek diterima atas budi bicara Ketua Jabatan.

 

26

 

Bolehkah pendaftaran kes dibuat jika duit tidak mencukupi?

Tidak boleh.

 

 

 

 

 

 

BAHAGIAN B          : KES JENAYAH SYARIAH

 

BIL

SOALAN

JAWAPAN

1

Saya bernikah di Songkhla, Thailand dan semasa itu saya tinggal di Selangor. Selepas 1 tahun bernikah saya pergi ke JAIS untuk mendaftarkan pernikahan saya tetapi sebaliknya saya telah didakwa di MRS Gombak Timur. Semasa saya hendak membuat pendaftaran pengesahan pernikahan di JAIS, permohonan saya ditolak kerana tidak lagi tinggal di Selangor tetapi di Kuala Lumpur. Bolehkah saya didakwa sekali lagi oleh JAWI?

 

Seseorang tidak boleh didakwa 2 kali untuk kesalahan dan fakta kes yang sama. Anda boleh mengemukakan bukti seperti kes pendakwaan dan resit denda yang telah dibayar di Selangor sekiranya timbul isu tersebut di Kuala Lumpur.

2

 

Apakah tindakan mahkamah, sekiranya saman berjaya diserahkan kepada OKT namun OKT tidak hadir?

 

Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap kepada OKT atas permohonan Pendakwa Syarie.

3

Siapa yang perlu memberi notis tangguhan sekiranya kes ditangguhkan atas permohonan pihak pendakwa?

 

Notis penangguhan akan dikeluarkan oleh mahkamah.

4

Siapakah yang melaksanakan perintah carian alamat terkini OKT melalui Perkeso, KWSP dan lain-lain?

 

Carian maklumat akan dibuat oleh pihak Pendakwaan.

5

Siapakah yang perlu mengawasi OKT selepas selesai perbicaraan sekiranya OKT belum lagi membayar denda?

 

Polis Mahkamah / Pegawai Penguatkuasa Agama bertanggungjawab mengawasi OKT sehingga selesai urusan pembayaran denda.

 

6

Siapakah yang bertanggungjawab untuk menguruskan OKT yang telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah?

Pegawai Penguatkuasa Agama bertanggungjawab untuk menguruskan OKT yang telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah.

 

7

Bagaimanakah proses serahan saman kes jenayah kepada pihak pendakwaan dan OKT?

 

Penghantar Notis Mahkamah akan membuat serahan saman kepada OKT untuk kali pertama. Manakala Pendakwa akan membuat serahan untuk kali kedua dan seterusnya.

 

Serahan saman kepada Pendakwa biasanya dibuat oleh mahkamah.

 

8

Bolehkah saya membuat rayuan bagi mengurangkan denda?

 

Boleh, pesalah diberi peluang untuk membuat rayuan selepas disabitkan kesalahan iaitu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

 

9

Saya mengaku salah tetapi saya tidak berpuas hati dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim. Apa yang saya boleh lakukan?

 

Anda boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.

10

Saya tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran denda setelah hukuman diberikan oleh mahkamah?

 

Hukuman penjara dikenakan kepada pesalah jika gagal membayar denda.

11

Saya mendapat saman dari mahkamah. Apakah yang perlu saya lakukan?

 

Anda perlu hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan dalam saman tersebut.

12

Jika saya mempunyai kes jenayah di mahkamah Syariah, adakah kes saya itu akan dipanjangkan kepada majikan saya.

 

Ya. Kes anda akan dimaklumkan kepada majikan anda mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A)395] sekiranya anda seorang Penjawat Awam atau atas permintaan pihak majikan.