Latar Belakang / Sejarah
Isu Mahkamah Syariah dan orang Islam bukan satu perkara baru. Dari isu kes-kes kekeluargaan tertangguh dan kelewatan mahkamah menyelesai kes perceraian sehinggalah kepada kes tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak, sehinggalah kepada hal poligami, mutaah dan harta sepencarian, semua isu ini menjadi tajuk menarik akhbar dan penulisan.
Dari pelbagai kritikan dan pandangan ini Mahkamah Syariah amnya dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) khasnya telah berusaha mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu ini. Isu perintah nafkah dari Mahkamah Syariah yang tidak terlaksana atau tidak dihormati telah menarik perhatian pemimpin negara.
PENUBUHAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK) JKSM
Pada 7 Jun 2007, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke 47 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi (pada ketika itu) telah mencapai ketetapan agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan BSK dalam usaha untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
BSK merupakan agensi pertama yang seumpamanya ditubuhkan di Negara-negara Islam. Di barat, terdapat beberapa negara yang menubuhkan organisasi yang hampir sama matlamatnya dengan BSK iaitu :-
I. Australia – Child Support Authority ( CSA ) di mana matlamat penubuhannya ialah bagi menyediakan perkhidmatan untuk mendapatkan hak saraan dan nafkah kepada kanak-kanak;
II. Louisiana Department Of Social Services, United States America (USA) juga berteraskan kepada ‘sokongan keluarga’. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah mengesan ibu/bapa dan waris kepada kanak-kanak, menguatkuasakan perintah dan membuat kutipan bagi pembayaran nafkah kanak-kanak;
III. Dublin – ‘Family Support Agency’; dan
IV. Kanada – Canadian System of Support Enforcement.
PELANCARAN BSK JKSM
BSK JKSM telah ditubuhkan secara rasminya pada 22 Oktober 2008 oleh YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada ketika itu) di JKSM, Aras 3, Blok D7, Putrajaya. Dalam majlis pelancarannya, BSK telah menerima penyumbang dana kewangan yang pertama sebanyak RM 500,000.00 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Manakala pengoperasian BSK diseluruh Malaysia telah dimulakan sejak April 2009 hingga kini.
BSK telah memfokuskan mengenai permasalahan nafkah anak yang tidak dilaksanakan oleh bekas suami/bapa kepada anak tersebut berdasarkan kepada perintah mahkamah yang dikeluarkan. Justeru, BSK telah mengambil pendekatan dengan mengutamakan Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah yang mana proses tersebut merupakan salah satu unit daripada tiga unit yang ditubuhkan di bawah BSK iaitu Unit Khidmat Nasihat dan Perundangan dan Unit Pengurusan Dana.
VISI
“Berusaha menjadikan BSK sebagai sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi membantu sistem pengukuhan kekeluargaan Islam ke arah pengwujudan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa Malaysia yang progresif”
MISI
“BSK komited untuk bertindak sebagai agensi utama dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang rakyatnya mengutamakan sistem kekeluargaan berlandaskan ajaran Islam, berperibadi mulia hasil daripada keluarga yang kukuh, berakhlak, sihat, berilmu dan harmoni”.
MATLAMAT
· Mengurus tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah Mahkamah Syariah yang berkesan dan efisyen
· Menambah baik sistem pengurusan kes di Mahkamah Syariah Negeri-negeri
OBJEKTIF
1) Memastikan kepentingan golongan yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah terpelihara;
2) Merealisasikan pelaksanaan dan pematuhan kepada setiap keputusan/perintah mahkamah yang melibatkan isu-isu berkaitan kekeluargaan;
3) Meningkatkan status dan bidangkuasa Mahkamah Syariah terutama dalam aspek pematuhan perintah mahkamah dan aspek pelaksanaan;
4) Menyelesaikan dan mengenalpasti masalah pemiutang/penghutang penghakiman terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya;
5) Mengatasi masalah kelewatan dalam pengendalian kes penguatkuasaan perintah kehakiman; dan
6) Memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terbabit di dalam institusi kekeluargaan.