Cetak

Bidang Kuasa

Secara umumnya Mahkamah Syariah sesuatu negeri di Malaysia adalah berbidangkuasa hanya di dalam negeri tersebut sahaja. Ini adalah kerana asas penubuhan Mahkamah Syariah adalah di dalam bidangkuasa negeri dan ianya terhad kepada undang-undang diri orang-orang Islam sahaja. Hal ini jelas diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan Senarai 2 Butiran 1.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, penubuhan Mahkamah Syariah adalah seiring dengan penubuhan Wilayah Persekutuan pada 1.2.1974 melalui Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 (perintah-perintah Wilayah Persekutuan 1974) 1993 (Akta 505) dikuatkuasakan pada 1993, maka Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan juga ditubuhkan mengikut kehendak akta berkenaan.

Dalam Seksyen 40(1) akta berkenaan, telah diperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam warta menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di tempat-tempat yang difikirkan patut. Dalam Seksyen 40(2) akta yang sama pula, diperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam warta menubuhkan Mahkamah Tinggi Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan. Manakala dalam Seksyen 40(3) pula, diperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan suatu Mahkamah Rayuan Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.