Cetak

BSK Transit

BSK Transit merupakan bantuan perkhidmatan penginapan sementara, pengangkutan dan makan minum secara percuma yang disediakan kepada pihak-pihak khususnya kepada wanita dan saksi-saksi  yang menghadiri prosiding Kes Mal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Keutamaan BSK TRANSIT diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan dan tinggal berjauhan daripada Mahkamah Syariah. Untuk permulaan, perkhidmatan BSK Transit ini hanya beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja.

Majlis Perasmian BSK Transit & Munaqashah BSK bersama NGO telah diadakan pada  3 Ogos 2010 bersamaan dengan 22 Sya’ban 1413 H bertempat di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Jalan Duta, Kuala Lumpur. Majlis tersebut dirasmikan oleh YB Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbangkan dana RM100,000.00 kepada Bahagian Sokongan Keluarga bagi tujuan perkhidmatan BSK Transit tersebut.

Selain itu, Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah bermurah hati menyumbangkan rumah penginapan di:-

  • Dua (2) unit apartment di Presint 9, Fasa 2, Putrajaya
  • Dua (2) unit apartment di Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi merealisasikan hasrat pewujudan BSK Transit.

Kerjasama turut dijalinkan bersama Tunes Hotel yang bersedia menawarkan harga yang istimewa dan berpatutan serta pembayaran selepas bilik hotel didiami bagi menempatkan pihak-pihak yang memerlukan perkhidmatan BSK Transit. 

 

Objektif BSK Transit

(a) Menjamin kehadiran pihak-pihak di Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan dalam prosiding perbicaraan;

(b) Melicinkan perjalanan prosiding kes di Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan;

(c) Mengurangkan beban kewangan pihak-pihak yang kurang berkemampuan berulang alik menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah melalui pembiayaan kos perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan makan minum;

(d) Melindungi keselamatan pihak-pihak terutamanya golongan ibu tunggal yang sesetengahnya terpaksa bermusafir untuk menghadiri kes di Mahkamah Syariah.

 

Kriteria dan Ciri-ciri Kelayakan Pemohon

(a) Pemohon beragama Islam, terdiri daripada golongan lelaki atau wanita;

(b) Merupakan pihak di dalam prosiding kes Mal di Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja;

(c) Tinggal di luar kawasan Lembah Klang; dan

(d) Tidak berkemampuan terdiri daripada golongan miskin dan faqir.

 

Perkhidmatan Penginapan

Bantuan kemudahan penginapan disediakan di :

(a) Apartmen Kuarters Kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur;

(b) Apartmen kuarters di Presint 9, Putrajaya; dan

(c) Kompleks Darus Sa’adah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

 

Kadar Bayaran Pengangkutan dan Kos Makan Minum

Tertakluk kepada jadual yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga, JKSM.

 

Tatacara Permohonan

1. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pegawai BSK dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut :

(a) Borang permohonan BSK Transit;

(b) Salinan kad pengenalan pemohon; dan

(c) Salinan notis kehadiran dan/atau notis tangguhan dari Mahkamah Syariah

2. Setiap permohanan hendaklah tiga puluh hari (30) sebelum tarikh prosiding Mahkamah Syariah, kecuali terdapat alasan munasabah yang dipertimbangkan dan diluluskan oleh Pegawai BSK mengikut setiap kes secara berasingan.

 

Pembatalan Permohonan BSK Transit

Tiap-tiap perkhidmatan BSK Transit hendaklah berkuatkuasa bagi setiap permohonan yang diluluskan sehinggalah ia dibatalkan oleh Pemohon. Pembatalan perkhidmatan hendaklah dimaklumkan kepada Pegawai BSK selewat-lewatnya 3 hari sebelum tarikh prosiding di Mahkamah Syariah.