MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) KEPADA MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN (MSWP)
MSWP KUALA LUMPUR, 09 Apr 2019 – Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) mengadakan perhimpunan Majlis Amanat Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merangkap Ketua Hakim Syarie, YAA Prof. Adjung Dato’ Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar bertempat di Dewan Aras 4, Kompleks MSWP Kuala Lumpur. Majlis yang dihadiri oleh semua warga MSWP Kuala Lumpur dan Putrajaya ini telah dimulakan dengan ucapan aluan daripada YAA Tuan Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan.
Perhimpunan ini merupakan perjumpaan pertama kalinya YAA Dato’ Dr. bersama warga MSWP yang terdiri daripada pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kakitangan kumpulan sokongan selepas beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie, JKSM berkuatkuasa pada 01 April 2019. MSWP adalah merupakan negeri kedua dikunjungi oleh YAA Dato’ Dr. bagi menyempurnakan amanat beliau selepas Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor.
YAA Dato’ Dr. di awal bicaranya mengingatkan bahawa pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie bukanlah satu keistimewaan untuk dibanggakan tetapi merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah. Sehubungan itu, dalam memikul tanggungjawab dan amanah ini agar ianya dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, YAA Dato’ Dr. menyeru seluruh warga JKSM dan seluruh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri termasuklah MSWP mendokong satu wadah dalam memastikan cabaran utama iaitu mengubah persepsi atau tanggapan negatif masyarakat awam terhadap Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan.
Selain itu, antara intipati amanat yang disampaikan oleh YAA Dato’ Dr. juga adalah menyentuh mengenai moto baharu beliau iaitu C. I. A yang membawa maksud “Cendiakawan, Ikhlas dan Amanah”. YAA Dato’ Dr. memberi penekanan terhadap konteks Integriti dan Amanah kepada seluruh warga MSWP di mana beliau menegaskan peri pentingnya warga MSWP terdiri daripada individu-individu yang mempunyai sifat integriti dan amanah yang tinggi serta memiliki akhlak-akhlak yang baik kerana ia mencerminkan ke arah kecemerlangan Mahkamah Syariah. YAA Dato’ Dr. juga yakin dengan menyemai niat bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan merupakan satu ibadah dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, pastinya setiap tugasan yang diamanahkan dapat dipikul sebaiknya oleh warga MSWP berteraskan nilai-nilai murni dan integriti.
Di samping itu, YAA. Dato’ Dr. turut mengingatkan dalam usaha menyahut cabaran ke arah mengubah persepsi negatif masyarakat awam terhadap Mahkamah Syariah, petugas kaunter MSWP disarankan agar dapat melaksanakan tugasan dengan penuh hikmah dan berhemah, mempamerkan akhlak yang baik, bersedia untuk terima pelanggan dengan hati terbuka, bermanis muka dan murah senyuman serta mempunyai sifat lemah lembut ketika berhadapan dengan pelanggan-pelanggan Mahkamah sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Imran : ayat 159 yang bermaksud “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” Ini adalah kerana petugas kaunter merupakan barisan hadapan yang mana memainkan peranan penting dalam memberikan persepsi awal kepada masyarakat tentang sistem pentadbiran Mahkamah Syariah secara keseluruhannya.
Selain itu, petugas kaunter MSWP juga diingatkan oleh YAA Dato’ Dr. agar dapat memikul tanggungjawab dengan penuh amanah justeru perlu bertindak secara bebas iaitu tidak memihak kepada mana-mana individu atau tidak bersekongkol dengan mana-mana peguam syarie, contohnya dengan mengambil bayaran tertentu dan sebagai balasan melayan peguam-peguam syarie itu dengan penuh keistimewaan. Sehubungan itu, YAA Dato’ Dr. menegaskan sekiranya terdapat petugas kaunter mahupun warga MSWP melakukan apa jua perbuatan yang dianggap sebagai salah laku, rasuah dan sebagainya, aduan beserta bukti hendaklah dibuat kepada pengurusan tertinggi agar perkara ini dapat disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
YAA Dato’ Dr. di dalam mengakhiri amanatnya turut menyuarakan harapan beliau agar seluruh warga MSWP dapat memberi sokongan dan dokongan serta dapat bersama-sama beliau membawa dan memajukan Institusi Kehakiman Syariah ke arah kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat, justeru pada masa yang sama beliau mengalu-alukan sebarang idea mahupun kritikan demi kebaikan semua.